Click Me!

Give Me A Click!

Friday, February 13, 2009

Di manakah sifat belas kasihan manusia?

Assalamualaikum w.b.t & selamat sejahtera...

Pada hari Rabu yang lalu, Ami telah menonton rancangan 360 di TV3. Sebenarnya, Ami ni jarang tengok tv melainkan ada rancangan yang benar-benar menarik. Pada episod 360 minggu ini, 360 telah memamparkan & mengulas isu DBKL yang dikatakan kejam. Mengapa mereka dikatakan begitu?

Kerana mereka telah membunuh haiwan terbiar seperti kucing dan anjing (stray cats & stray dogs) dengan cara yang sangat kejam. Nak tahu dengan lebih lanjut? Saksikan video ini.

DBKL Animal Cruelty



DBKL Animal Abuse I



DBKL Animal Abuse II



DBKL Animal Abuse III


Jadi, Ami nak tanya korang? Apa perasaan korang selepas tengok video-video kat atas tu? Lepas Ami tengok versi yang dipaparkan di 360, Ami hampir-hampir menitiskan air mata - menangis. Ami rasa kesian sangat tengok anjing-anjing dan kucing-kucing tu diperlakukan sedemikian rupa. Sudahlah mereka itu haiwan, dan tidak bersalah, namun mereka dilayan (atau membunuh) dengan cara yang sangat kejam. Kalau ya pun nak bunuh, janganlah dibuat dengan cara yang begitu. Buatlah dengan cara yang betul dan mengikut hukum syara'.

Tujuan Ami postkan video ni bukanlah untuk mencalarkan imej DBKL, tapi ingin membela nasib haiwan-haiwan yang tidak bersalah yang telah dilayan dengan cara yang sangat kejam oleh manusia yang bergelar pihak berkuasa. Bagaimana perkara ini boleh terjadi? Adakah pekerja-pekerja DBKL tidak diberikan panduan yang betul yang dalam menangani isu haiwan terbiar di Kuala Lumpur sehingga terpaksa membunuh haiwan-haiwan tersebut dengan cara yang kejam? Atau mereka tahu panduan yang betul, tetapi tidak diaplikasikan kerana terlalu leceh? Atau mereka lebih tertarik dengan imbuhan lumayan yang ditawarkan dalam menangani isu ini?

Nampaknya, manusia lebih tertarik kepada wang semata-mata dan telah luput sifat kasih sayang sesama haiwan dalam hati. Bumi ini telah Allah ciptakan bukan sahaja untuk manusia, malahan juga untuk makhluk-makhluk ciptaan-Nya yang lain seperti haiwan, tumbuhan dan banyak lagi. Oleh itu, sebagai khalifah, kita perlulah menjaga setiap apa yang ada di muka bumi ini supaya tidak rosak.

Baiklah, berbalik dengan isu tadi. Ami juga tertanya-tanya bagaimana isu yang serius ini terlepas pandang daripada pihak berkuasa. Rasa Ami, rata-rata pekerja DBKL merupakan orang Islam, namun mengapa isu ini boleh terjadi? Adakah mereka tidak tahu hukum syara' berkenaan dengan haiwan yang sudah jelas diterangkan dalam al-Quran? Haiwan-haiwan yang ada di dunia ini seharusnya disayangi dan dilindungi kerana mereka juga merupakan makhluk Allah. Kalau kita tak bela haiwan pun, kita perlulah ada sifat kasih sayang terhadap mereka.

Haiwan seperti kucing merupakan haiwan kesayangan Rasulullah SAW dan salah seorang sahabat Baginda SAW iaitu Abu Hurairah turut diberi gelaran 'Bapa Kucing' kerana beliau sangat sayangkan kucing.

"Seorang pelacur dari Bani Israel diampun dosanya oleh Allah dan dimasuknya ke syurga kerana ia bersimpati dengan seekor anjing yang kehausan air, lalu ia turun ke dalam telaga dan mengangkut air dengan kasutnya untuk diberi minum kepada anjing itu."
-Hadis riwayat Bukhari-

Lihatlah betapa besarnya rahmat Allah sekiranya kita mengasihani haiwan; walaupun hanya sekadar memberi air kepada haiwan - tanpa mengira sama ada haiwan tersebut tergolong dalam najis Mughallazah. Tambahan pula, perbuatan ini dilakukan oleh seorang pelacur dan diampunkan dosanya oleh Allah SWT hanya kerana dia memberi air untuk anjing itu. Maha Suci Allah yang menurunkan rahmat kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Sebaliknya, sabda Raulullah SAW:

“Seorang wanita masuk Neraka kerana seekor kucing yang diikatnya. Dia tidak memberinya makan dan tidak membiarkannya makan serangga bumi.”

-Hadis riwayat Ibnu Umar-

Nah, tengok pula hadis di atas. Disebabkan wanita tersebut mengikat kucingnya dan tidak pula diberi makan, wanita tersebut telah dihumban ke dalam neraka. Bagaimana pula dengan isu-isu yang Ami katakan di atas? Pihak DBKL tidak mengikat haiwan-haiwan tersebut, tapi sebaliknya MEMBUNUH mereka! Pihak tersebut bukan sahaja membunuh haiwan-haiwan tersebut, malahan mereka tidak mengebumikan haiwan yang telah mereka bunuh dengan cara yang betul; mereka buang bangkai-bangkai haiwan itu di tempat pembuangan sampah sehingga menimbulkan bau yang kurang enak. Bau ini telah menyebabkan penduduk berdekatan berasa tidak selesa.

Isu kekejaman terhadap haiwan ini telah menimbulkan kemarahan para pencinta haiwan - termasuk Ami sendiri. Mereka telah mempersoal mengenai isu ini terhadap 'orang kuat' DBKL (nak tahu apa soalannya, tengok video tu). Mereka turut menuntut jawapan atau sebab mengapa hal tersebut boleh terjadi.

Kesimpulannya, Ami tertanya-tanya di manakah sifat belas kasihan manusia terhadap haiwan? Haiwan merupakan makhluk ciptaan Allah yang sepatutnya disayangi dan dilindungi; bukannya diseksa. Adakah kita ingin menjadi seperti kaum-kaum etnik di negara lain seperti Vietam dan China yang telah melakukan kekejaman terhadap haiwan demi keuntungan dan kepentingan diri sendiri? Tepuk dada, tanyalah iman dalam hati. Kita, manusia dikurniakan akal fikiran oleh Allah SWT supaya dapat membezakan antara perkara baik dan perkara buruk. Di manakah sifat belas kasihan kita? Sanggupkah kita menerima azab seksa Allah SWT kerana telah menzalimi makhluk-Nya?

-Sebahagian sumber post di atas dipetik daripada www.iluvislam.com-

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...